Warga UMP berjalan kibar jalur gemilang dalam Fun Walk
Pekan, 21 Sept- Lebih 600 peserta dalam kalangan staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjalan sekitar kampus bermula dari Pusat Aktiviti Pelajar ke Bangunan Canseleri sambil mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu-lagu patriotik dalam program Fun Walk baru-baru ini.
Program diadakan bersempena Majlis Penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat UMP anjuran Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Pekan dan Jabatan hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta Pusat Sukan dan kebudayaan UMP.
Hadir merasmikan program adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dengan dihadiri Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid yang turut sama menyertai acara berjalan ini.
Menurut Dato’ Yuserrie, penganjuran program berjalan ini juga merupakan riadah dan menyokong amalan gaya hidup sihat sambil menikmati suasana panorama malam dalam kampus.
“Dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan banyak aktiviti yang telah dijalankan seperti Kibaran Jalur Gemilang, Berkayak 'Sehati Sejiwa’ dan penyertaan UMP Racing dalam Sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-59 di Kuantan yang dirasakan cukup mantap dalam melahirkan warga UMP yang cintakan negara,” katanya.
Bagi Mohd Farhan Mohamad, 19 dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal berpendapat, program sebegini dapat merapatkan silaturrahim warga kampus. Lebih menarik peserta turut ditayangkan dengan filem sejarah bertajuk 'Malaya Merdeka’ yang dapat membangkitkan semangat patriotik yang telah sekian lama dipupuk.
Manakala Dayang Hafizah Awang Man,20 dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berasa gembira dan seronok menyertai Fun Walk kerana mereka berpeluang menikmati suasana malam yang disinari lampu dengan pemandangan yang cantik sambil beriadah.
Lihat lagi gambar