Program Berbasikal dan Memancing di UMP

Program Berbasikal dan Memancing di UMP

Pekan, 22 Oktober- Program Karnival Belia Pewaris Bangsa bertemakan Sehati Sejiwa anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kuantan dan Majlis Belia Daerah Pekan hari ini memberi peluang golongan muda dalam menyuburkan gaya hidup sihat dan memasyarakatkan kampus.

Dalam program ini seramai 100 pelajar menyertai program berbasikal sejauh 38 km bermula dari Kompleks Belia Sukan Kuantan dan singgah di Pantai Sepat sebelum menamatkan program di UMP Pekan manakala pada masa yang sama berlangsung acara memanah tradisional dan pertandingan memancing di kampus universiti.

Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir berkata, usaha ini menjadikan UMP Pekan sebagai salah satu pusat pelancongan iaitu EDU-Tourism di Pekan dan memberi peluang kepada warga kampus dan pihak luar untuk sama-sama memasyarakatkan universiti dengan penganjuran bersama pihak luar.

“Program ini juga dapat menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan menyertai aktiviti sukan yang dianjurkan selain merapatkan hubungan baik dengan masyarakat sekitar,” katanya.

Hampir 400 orang sekitar daerah Kuantan, Pekan dan Rompin serta Johor mengambil bahagian dalam Pertandingan Memancing Sehati Sejiwa pada kali ini. Sementara itu bagi pemenang utama, Azizan Sulaiman,31, dari Batu 12 Kuantan melahirkan rasa terperanjat buatnya dan tidak menyangka memenangi pertandingan ini. Beliau meraih tempat kedua, dua belas dan tempat tiga puluh satu dengan jumlah keseluruhan RM 14,350.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim, ADUN Bebar, Dato’ Mohammad Fakharuddin Mohd Arif, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd. Rahman Hj. Safie dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuantan, Razaki Omar.


Print   Email