Outreach TVET Orang Asli sebar luas manfaat pendidikan tinggi

Outreach TVET Orang Asli sebar luas manfaat pendidikan tinggi

Kuantan, 31 Mac 2022 - Lebih 300 masyarakat orang asli hadir meriahkan Program Outreach TVET Orang Asli@Lipis bertempat di Dewan Orang Ramai Pos Betau dan Balai Raya Kampung Tementong Lipis yang dihadiri dari pelbagai peringkat usia.

Program ini merupakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP), Jabatan kemajuan Orang Asli Pahang (JAKOA) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Pengunjung berpeluang mendapatkan konsultasi daripada 13 pempamer daripada universiti awam dan swasta, forum pendidikan, kursus jangka masa pendek pembuatan donut, TVET Orang Asli Challenge, servis motosikal percuma dan pelbagai program pendidikan.

Hadir sama Penolong Naib Canselor, Jabatan Kolaborasi Industri dan Masyarakat (JKIM), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, JPPKK, Noranyza Mohamad Yusoff dan Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik (PPKA) UMP, Zainal Bahari.

Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina, program ini bertujuan menyebar luas maklumat dan memberi konsultasi kepada penduduk di sini mengenai peluang melanjutkan pengajian ke IPT menerusi permohonan UPU Online.

“Anak-anak ini juga turut dibantu untuk mengisi Permohonan UPU Online yang diadakan secara terus di saat akhir tutup permohonan.

“Selain UMP, beberapa IPT juga turut serta dalam menjayakan program ini antaranya Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan lain-lain lagi,” katanya.

Pada masa yang sama, UMP turut memasang solar panel bagi membekalkan lampu dan kemudahan mengecas telefon di pondok berhadapan Masjid Sungai Tementong.

Menerusi inovasi ini dapat memberi kemudahan untuk menerangi dan memberikan sumber elektrik di sekitar masjid.
Ujar beliau lagi, Program Khidmat Komuniti (CSR) ‘UMP Lighting Up The Community’ ini merupakan sebahagian daripada aktiviti bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP yang akan dilaksanakan di sepanjang tahun ini seiring dengan slogan UMP ‘Teknologi untuk Masyarakat’.

Manakala menurut Zainal, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya seperti serahan sumbangan Yayasan UMP, cabutan bertuah, kursus membuat donat, servis motosikal secara percuma dan Face Painting yang dikendalikan oleh pihak JPPKK.

Menurut salah seorang pengunjung, Rosabeena Mohamad, beliau melahirkan rasa gembira dengan program ini.

Baginya, pelbagai maklumat yang diketahui antaranya seperti mengenai kursus yang ditawarkan dan cara permohonan kemasukan ke IPT.

Beliau berharap lebih banyak program sebegini dapat diadakan pada masa akan datang bagi membantu golongan masyarakat Orang Asli agar lebih cakna dalam pendidikan.


Print   Email